U Mobile sedia infrastruktur 5G, rangkaian 4G untuk Eastel
KUALA LUMPUR: U Mobile Sdn Bhd menandatangani perjanjian akses borong 5G dan 4G yang pertama dengan Eastel, pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) baharu daripada Anchor Communications Sdn Bhd.
Menurut kedua-dua pihak itu dalam kenyataan bersama hari ini, perjanjian selama lima tahun itu merupakan perjanjian akses borong 5G dan 4G U Mobile yang pertama.
“Ini akan menyaksikan U Mobile menyediakan infrastruktur 5G generasi baharu dan rangkaian 4G untuk perkhidmatan data, suara dan SMS serta sokongan untuk panggilan terus antarabangsa (IDD), perayauan dan perkhidmatan pertukaran nombor mudah alih (MNP),” menurut mereka.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Kenneth Chang, berkata kerjasama tersebut merupakan permulaan kepada lebih banyak perjanjian borong 5G, terutamanya apabila perluasan rangkaian 5G syarikat dijangka mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang separuh kedua tahun depan.
“Dengan rangkaian 4G dan 5G generasi baharu yang memenangi anugerah, kami berhasrat untuk membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri telekomunikasi untuk memanfaatkan infrastruktur kami yang maju dan bersedia untuk masa depan serta kepakaran operasi.
“Langkah ini juga menggariskan komitmen kami untuk menyokong ekonomi digital negara melalui kepelbagaian pasaran dan persaingan yang lebih sihat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Eastel, Aaron Lee, berkata syarikat menyasarkan untuk menyokong lebih banyak aplikasi khusus dan berteraskan data yang boleh disesuaikan untuk komuniti dengan memanfaatkan rangkaian 5G dan 4G U Mobile Sdn Bhd yang amat pantas.
“Bersama U Mobile, kami berharap dapat membina Malaysia yang lebih kukuh dan lebih berhubung,” katanya.
Eastel, yang dilesenkan di bawah kategori Pembekal Perkhidmatan Aplikasi (ASP) dan Pembekal Perkhidmatan Rangkaian (NSP) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dijadualkan dilancarkan secara komersial pada suku pertama 2026.
Interested? Feel free to contact me to find out more: 0136770282
Anda juga boleh Call / WhatsApps ke 0136770282. Kami Sedia membantu anda sehingga berjaya.

